Wednesday, May 2, 2012

Gaji minimum: RM900 di Semenanjung, RM800 Sabah, S'wak, Labuan




Kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan (RM4.33 sejam), manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan (RM3.85 sejam), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
    
Beliau berkata gaji minimum itu akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali perkhidmatan domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya.
    
"Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan," katanya semasa berucap di majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta di Putrajaya hari ini.
    
Pengumuman itu juga sempena sambutan Hari Pekerja yang akan disambut esok dan sebagai hadiah istimewa daripada kerajaan persekutuan kepada seluruh warga pekerja.
    
Najib berkata kerajaan turut menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya penetapan gaji minimum itu tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.

Bagaimanapun, katanya untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil membuat persediaan, tempoh kuat kuasa bagi kategori itu ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.



Perdana Menteri berkata pengecualian 12 bulan itu tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan; firma guaman; firma arkitek; firma juru perunding dan sebagainya; walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima atau kurang; mereka perlu mematuhi gaji minimum ini dalam masa enam bulan.
    
"Pemberian tempoh masa yang mencukupi ini adalah supaya majikan dapat membuat persediaan secukupnya bagi menstrukturkan semula gaji pekerja dan operasi perniagaan masing-masing.
    
"Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan," katanya.
    
Jelas Najib lagi kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 hingga RM1,500.
    
Namun untuk permulaan, katanya sebagaimana syor Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.
    
"Sekiranya gaji minimum ditetapkan melebihi tahap RM900 (yakni gaji pokok) kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing," katanya.



"Jika perkara itu berlaku, industri tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan. Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, kerana ini akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan nasional," katanya.
    
Najib berkata kerajaan juga sedar, bahawa menetapkan kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mendedahkan kepada tohmahan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan pekerja di negeri dan wilayah tersebut.

"Perbezaan gaji antara dua wilayah ini terpaksa dilakukan kerana perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang ketara," katanya.
    
Namun begitu, beliau berkata untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, kerajaan berharap kadar gaji minimum bagi negeri-negeri tersebut dapat diselaraskan dengan kadar gaji minimum di Semenanjung Malaysia.
    
Kadar gaji minimum yang ditetapkan tersebut tidak akan kekal statik, ia akan dikaji semula dari semasa ke semasa sejajar dengan kemampuan, produktiviti dan daya saing negara, jelas beliau.
    
Dalam pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan MPGN sebagai platform utama dalam penetapan upah, termasuk menentukan kadar dan mekanisme pelaksanaan gaji minimum di negara ini.



Susulan itu, Kementerian Sumber Manusia bersama rakan tripartite telah merangka dan menggubal perundangan yang berkaitan.
    
Hasilnya, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen pada sesi Jun/Julai 2011, kemudian akta diwartakan pada 15 September dan seterusnya, MPGN telah ditubuhkan pada 28 September.

- Bernama

Thursday, March 22, 2012

Harga Minyak Cecah AS$107 Setong, Dijangka Terus Naik




SINGAPURA 22 Mac - Harga minyak meningkat kepada AS$107 (RM329.3) setong semalam selepas laporan menunjukkan simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) jatuh diluar jangkaan, satu tanda permintaan bahan tersebut akan terus meningkat di negara ekonomi terbesar dunia itu.


Setakat awal petang, di Eropah, penanda aras minyak bagi penghantaran Mei meningkat sebanyak AS0.49 (RM1.5) kepada AS$106.56 (RM328) satu tong dalam pasaran elektronik New York Mercantile Exchange.


Kontrak itu jatuh AS$2.49 (RM7.6) untuk berada pada AS$106.07 (RM326.4) setong di New York kelmarin selepas Arab Saudi berkata ia boleh mengepam lebih banyak minyak untuk menampung mana-mana kekurangan bekalan bahan mentah itu. - AGENSI


Sumber :Utusan 22/03/2012

Tuesday, March 13, 2012

Tinggal Ibu Lumpuh Di Hotel Bajet Kerana Terpaksa



video
Ini video terbaru kes ini

HM : KUALA LUMPUR: “Saya tahu dia tak berniat nak tinggalkan saya. Selepas ini, saya nak tinggal dengan dia kerana hanya dia yang saya ada di dunia ini. Terima kasih kepada semua, dapat jumpa dia (anak),” kata Faridah Maulud ketika dipertemukan dengan anaknya buat pertama kali semalam sejak ditinggalkan 10 hari lalu.

Dalam pertemuan penuh sayu itu, kedua-dua mereka dilihat tidak berenggang dengan sesekali anaknya, Amir Mohd Omar, 27, menyeka air mata di pipi ibu berusia 66 tahun itu sambil menerangkan dia tidak meninggalkan ibunya sendirian, tetapi terpaksa berbuat demikian atas faktor kesihatan.



Menafikan anaknya sengaja berbuat demikian, Faridah berkali-kali menyatakan yang dia tahu anaknya mengalami masalah kesihatan dan dia sendiri bersetuju untuk dibawa ke sebuah hotel berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi memudahkan mereka berdua menerima rawatan.



“Dia ada beritahu saya yang dia nak ke hospital, jadi lebih elok saya ikut dia ke sana kerana takut tinggal berseorangan di rumah di Wangsa Maju kerana baru-baru ini ada kes pergaduhan di situ.



“Cumanya, saya tidak tahu ke mana dia pergi selepas tiga hari tak muncul, tapi dia ada tinggalkan sedikit wang untuk membeli makanan. Hari ini baru dapat jumpa,” katanya ketika ditemui semalam.




Pertemuan itu diadakan hasil inisiatif Harian Metro dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) diketuai Pengarahnya, Noormah Abd Rauf.



Sebelum itu, Amir hadir ke pejabat JKM WPKL di sini untuk memberi penjelasan kepada Noormah berhubung tindakannya meninggalkan ibu itu bersendirian sehingga membawa kepada laporan polis yang dibuat penyelia hotel itu pada 8 Februari lalu. Selepas itu, dia di bawa ke Pusat Sehenti Bina Diri di Sungai Buloh untuk bertemu ibunya dan berbincang mengenai kewajaran untuk mengambil semula wanita berkenaan tinggal bersamanya dalam waktu terdekat.



Sebaik melihat kelibat anak tunggalnya itu, Faridah tidak henti-henti menangis dan terpaksa ditenangkan Noormah seketika sebelum perbincangan lanjut mengenai status terkini dirinya.



“Saya hendak tinggal dengan dia kerana dia anak saya. Kalau dapat nanti, saya ingin mengajar al-Quran seperti di kampung sebelum ini. “Saya baca artikel mengenai diri saya, tapi saya tahu anak saya buat yang terbaik untuk saya. Mungkin lebih baik di hotel berbanding di rumah kerana saya tinggal seorang, di hotel orang ramai,” katanya.



Sementara itu, Amir berkata, dia bersyukur kerana akhirnya dapat bertemu ibunya dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk JKM yang membantu menjaganya sepanjang tempoh itu.


Katanya, ketika ini, fokusnya hanyalah untuk mencari pekerjaan baru selepas berhenti sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu negara petang kelmarin.


video
Ini adalah video terdahulu yang disiarkan oleh Harian Metro

Polis Sahkan Rangka Rentung Sebagai Nurul Nadirah (Daring)



Hanya esakan dan tangisan kedengaran di rumah kanak-kanak malang Nurul Nadhirah Abdullah atau Dirang sebaik sahaja polis mengesahkan mayat rentung yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Pasir Gudang di Johor Baharu  8 Mac lalu adalah kanak-kanak itu.

Tiada kata yang mampu diucapkan oleh anggota keluarga mahupun jiran untuk menenangkan ibu Dirang, Roselyn Alan, 25 yang terkejut dan menangis tidak berhenti sejak menerima maklumat berhubung perkara itu.



Roselyn juga pengsan seketika selepas menangis lebih sejam sebaik dihubungi oleh pihak polis melalui telefon kira-kira 6.40 petang tadi bagi mengesahkan perkara itu setelah menerima hasil ujian DNA daripada Jabatan Kimia hari ini.

Tinjauan di rumah mangsa di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam dekat Johor Baharu mendapati, suasana hiba menyelubungi rumah mangsa yang dipenuhi oleh kaum tentang kes itu.

Esakan dan tangisan  Roselyn yang berada dalam sebuah daripada bilik di rumah itu jelas kedengaran di ruang tamu menyebabkan mereka yang berkunjung di rumah itu tidak dapat menahan daripada turut menitiskan air mata mengenangkan nasib yang menimpa mangsa.

Roselyn dan suaminya Lima Medeng, 25, juga enggan ditemu bual pemberita ekoran terlalu sedih dan terkejut dengan perkembangan terbaru itu.

Sementara itu, nenek kanak-kanak itu, Milnah Jul, 56, berkata, ketika anaknya menerima panggilan daripada pihak polis untuk memaklumkan tentang perkara itu, beliau berada di bawah flat itu.



"Saya berada di bawah flat ketika Roselyn menelefon saya memaklumkan menerima panggilan daripada polis memberitahu mayat rentung sebelum ini adalah Dirang.

"Kami sekeluarga amat terkejut dan tidak menyangka sebab sebelum ini polis memaklumkan mayat itu adalah rangka orang dewasa," katanya.

Milnah kemudian dilihat tidak dapat menahan air mata serta tidak dapat berkata-kata akibat terlalu sebak dan terus masuk ke bilik sambil menangis.

Seorang jiran keluarga itu, Noridah Juliri, 44  berkata penduduk di kawasan itu terkejut dan bersedih dengan kejadian itu.

"Sehingga petang tadi kami masih meneruskan usaha mencari mangsa yang saya anggap sebagai cucu saya sendiri.

"Saya sendiri terguris dan tak senang hati sejak mangsa hilang. Saya masuk kelapa sawit bantu cari...sebagai jiran saya rasa sakit, tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika ini," katanya yang mendapat tahu tentang perkara itu lewat petang tadi dan terus datang ke rumah Roselyn yang telah dianggap sebagai keluarga.

Nurul Nadhirah dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu kira-kira 11 pagi ketika keluar untuk membeli mee segera dan telur di kedai runcit di kawasan flat kediamannya.



Friday, January 27, 2012

Kerajaan Melaka Ambil Alih Bas Henti-Henti Mulai 1 Feb



Kerajaan negeri Melaka akan mengambil alih pengurusan bas henti-henti bermula 1 Februari depan setelah membayar pampasan bernilai RM7.7 juta kepada 10 syarikat bas henti-henti di negeri itu hari ini.
    
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata bayaran pampasan itu melibatkan 110 bas berjumlah RM5.4 juta, 118 pekerja berjumlah RM1.8 juta serta gantirugi tambahan kepada keseluruhan syarikat tersebut berjumlah RM500,000.
    
"Kita berharap tranformasi ini dapat memperbaiki sistem pengangkutan awam serta menyediakan perkhidmatan terbaik kepada warga Melaka yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti walaupun (kerajaan Melaka) terpaksa menanggung kerugian akibat pengambilalihan ini," katanya.
    
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Panorama Melaka Cultural and Tourism (PMCT) Sdn Bhd dan 10 pengusaha syarikat bas henti-henti di negeri itu di Melaka.
    
Syarikat yang terlibat dalam pengambilalihan itu ialah Syarikat Perusahaan Kenderaan Hj Aziz Bin Alias Sdn Bhd; Syarikat Town Bus Service Bhd; Syarikat Malacca Omnibus Service Sdn Bhd; Syarikat Bas Tai Lye Sdn Bhd; Syarikat Patt Hup Transport Sdn Bhd; Syarikat Bas Tuah Sdn Bhd; Syarikat Batang Bus Sdn Bhd; Syarikat Salira Transport & Tours Sdn Bhd; Syarikat Roda Juara Sdn Bhd dan Syarikat Bas Wira Sdn Bhd.



Beliau berkata masalah bayaran pampasan kepada syarikat bas henti-henti yang tertangguh sebelum ini, diselesaikan dengan bantuan kewangan bernilai RM8.8 juta daripada Yayasan Melaka, Perbadanan Ketua Menteri, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).
    
Mohd Ali berkata pengurusan operasi baru syarikat bas henti-henti itu akan dikendalikan oleh PMCT Sdn Bhd iaitu anak syarikat Perbadanan Ketua Menteri menggunakan jenama Panorama.
    
Beliau berkata antara pembaharuan dan penambahbaikan yang akan dilakukan secara berperingkat ialah menggantikan semua bas lama kepada baru iaitu sebanyak 141 buah bas, menggunakan sistem tiket berkomputer dan memperluaskan laluan bas daripada 80 kepada 141 laluan termasuk kawasan luar bandar.
    
Katanya setakat hari ini, sebanyak 10 buah bas Panorama baru telah beroperasi manakala 131 buah lagi akan ditambah secara berperingkat dalam tempoh setahun.
    
Beliau berkata kesemua bas tersebut disewa daripada SCOMI Special Vehicle Sdn Bhd dengan kos antara RM10,000 dan RM13,000 sebuah sebulan.     

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bas Melaka, Razali Endun berkata langkah kerajaan negeri mengambil alih pengurusan bas henti-henti merupakan satu tindakan prihatin dan tepat pada masanya.



"Industri bas henti-henti di negeri ini telah lama mengalami kerugian dan ia semakin mendesak sejak lima tahun kebelakangan ini disebabkan kenaikan harga alat ganti bas dan diesel," katanya.

- Bernama

Thursday, January 12, 2012

Liwat II : Anwar Tak Bersalah, Pendakwa Akan Buat Rayuan

Pihak pendakwaan kes perbicaraan liwat II yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan ketua pembangkang itu daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Isnin lalu.


Dalam laporan berita bahasa Inggeris Nightline, terbitan TV3, Peguam Cara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dipetik berkata keputusan membuat rayuan dibuat setelah mengkaji semua bukti berhubung kes berkenaan.

Mohd Yusof juga dilaporkan berkata cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak lama lagi supaya rayuan boleh difailkan dalam tempoh 10 hari.

Isnin lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, mengambil masa kurang dari lima minit dalam membuat keputusan untuk membebas dan melepaskan Anwar selepas memutuskan untuk tidak menerima bukti DNA. Beliau sebelum ini, menerima bukti berkenaan ketika dibentangkan oleh pihak pendakwaan.

Pada peringkat akhir pembelaan, katanya, beban membuktikan mesti melampaui keraguan munasabah.



Menurut Mohamad Zabidin, meskipun mahkamah menerima bukti yang dikemukakan oleh ahli kimia yang dilantik oleh kerajaan - Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon, namun mahkamah memilih menolak kenyataan mereka selepas mendengar keterangan dari dua saksi pakar Anwar dari Australia.

Semalam, Azlan Mohd Lazim, bapa kepada pengadu kes liwat II, Mohd Saiful Bukhari berkata beliau akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil  sekiranya Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan.

Sebelum ini, beberapa peguam kes jenayah memberitahu Malaysiakini bahawa hak untuk membuat rayuan terletak di tangan Peguam Negara yang mempunyai 14 hari untuk berbuat demikian.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails